Sunday, January 3, 2016

++ Entri 16: My New Life 2016

Dengan namaMu Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang... Lama sudah jemari ini tidak menari melunakkan bahasa jiwa yang sering bermonolog kesepian. 2016 datang memaksa aku meninggalkan 2015... semoga kehadiran ini memberi satu kisah baharu buat aku dan kehidupanku. AZAM???? Rasanya aku tidak pernah mempunyai sebarang azam sepanjang hidupku ini. Mungkin kerana aku tidak pernah yakin yang aku mampu tunaikan jika aku berazam pun. Kerana aku seorang yang suka meredah situasi biar apa pun rupa dan keadaanya, jadi apa perlunya azam itu dalam kehidupan aku? Alhamdulillah, Maha Suci ALLAH... tahun yang telah berlalu telah pun merealisasikan beberapa impian zaman kecilku. Berjaya menggapai diploma dan ijazahku dalam larian tanpa henti selama 6 tahun. DUGAAN? Apalah ertinya hidup jika tiada si Dugaan yang diciptakan Tuhan untuk menguji kesabaran dan ketabahan hamba-hambanya yang lemah ini. Bukankah ketawa dan tangisan itulah irama dan lagu di dalam sesuatu yang dinamakan KEHIDUPAN? Yang menjadi kekuatanku adalah keyakinanku pada Penciptaku kerana aku selalu yakin hanya DIA yang sentiasa ada di sisiku pada setiap detik dan saat. 2016.. kehadirannya jauh berbeza daripada yang sebelumnya. Kehadirannya menakutkanku, amat membimbangkanku, mendebarkan setiap degup jantungku. Tahun ini adalah tahun yang mencabar buat aku mencari diri AKU sendiri. Sudah sampai waktunya untuk aku kembali kepada diri aku yang sebenarnya AKU. Aku diciptakan untuk menjadi AKU dan aku harus meneruskan perjalanan kehidupan ini sebagai AKU dalam mencari siapakah AKU yang sebenarnya. Ya Tuhanku Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pengampun... Bantulah aku dalam mencari siapakah AKU yang telah engkau ciptakan selama 4 dekad ini. Bantulah aku dalam mencari diri AKU sendiri. Bantulah AKU Ya Allah.
Semoga AKU sentiasa di bawah lindunganMU Ya Rabbul 'Izzati.

No comments:

Post a Comment